MELBOURNE VICTORIA, Australia. Meriah suasana dalam majlis tari-menari di villa yang serba indah itu. Setiap tetamu hadir berpasang-pasangan. Namun wajah mereka dilindungi dengan topeng muka yang beraneka corak. Dalam kelompok tetamu itu, seorang pemuda sedang duduk bersandar sambil menikmati minuman di tangannya. Setiap gadis yang mengajaknya untuk menari ditolak dengan lembut. Nyata dia sedang menantikan seseorang. Seseorang yang istimewa baginya pada majlis malam itu. Bagaimana jika si gadis tidak menghadirkan diri? Pasti dia akan merasa kecewa.
Seorang gadis laksana Cinderella melangkah masuk. Gaun labuhnya diangkat penuh berhati-hati. Dia seakan tidak biasa berpakaian sedemikian. Bibirnya mengeluh kesah. Dia tidak selesa apabila dirinya menjadi pemerhatian. Apatah lagi gemuruh menguasai hatinya. Di mana silap langkahnya dia tersandung dan jatuh terduduk dikhalayak ramai. Rata-rata tetamu malam itu tertawa dengan gelagatnya. Dia mencebik. Kekecohan di dewan utama itu menarik perhatian pemuda itu. Si pemuda melirikkan senyuman sebaik saja melihat gadis tersebut. Lantas dengan penuh gaya langkahnya diatur merapati si gadis. Laksana sang putera dia menghulurkan tangannya. Si gadis berkelip mata. Terpinga-pinga dia menyambut huluran itu. Wajahnya merona merah.
“Saya tahu awak akan hadir, Elle.” suaranya lembut.
“Bagaimana awak boleh agak saya adalah Elle. Bagaimana kalau saya adalah Eleanor?” Gadis itu bertanya. Pemuda itu ketawa kecil.
“Eleanor tidak segemuruh kamu. Dia gadis yang bijak mengawal keadaan. Jika tidak masakan dia layak berdiri di atas pentas teater itu.”
“Awak lebih mengenali kakak dari saya.” nada gadis itu seakan merajuk.
“Namun saya mencintai si gemuruh seperti kamu.”
Lantas gadis itu terdiam. Selama ini hanya pemuda itu yang beria-ia menyatakan cinta kepadanya. Dia takut untuk mengkhianati Eleanor dan dia sama sekali tidak layak memiliki pemuda di hadapannya itu.
“Kenapa awak diam?” Dia menyoal.
Elle mengetap bibir. Wajahnya gusar. Matanya melilau. Dia tidak mahu kehadirannya di majlis itu dikesan oleh kakaknya, Eleanor.
“Dean…saya tak mahu mengkhianati kakak. Dia terlebih dahulu mengenali awak.” Elle bersuara perlahan.
Pemuda bernama Dean itu mengeluh kecil. Kenapa Elle masih mahu takutkan Eleanor. Bukan ramai menyatakan soal cinta tiada paksaan. Sungguhpun dia mengenali Eleanor sebelum Elle tidak bermakna dia terus jatuh hati pada Eleanor.
“Mari…saya mahu awak menari dengan saya malam ini.” Dean terus menarik lengan Elle. Elle terpaksa mengikut langkah Dean ke dewan utama. Irama muzik yang dimainkan bergitu romantis.
“Dean! Saya tida reti menari.” laung Elle. Serba tidak kena dibuatnya. Naik pening kepala Elle bila berpusing-pusing di dalam dewan itu. Acapkali jua dia hampir terpijak kaki Dean. Dia bukan penari sebaik Dean. Tarian Dean pasti akan sempurna jika Eleanor berada di tempatnya.
Dari satu sudut ada mata yang merenung mereka tajam. Terketap-ketap bibirnya memerhatikan gelagat Dean dan Elle. Gadis yang memakai topeng rama-rama itu memeluk tubuhnya. Dia sudah tidak menghiraukan lelaki-lelaki yang cuba mendampingi dia. Bingkas dia meluru keluar dari dewan utama.
DEAN memandang tepat ke wajah jelita Eleanor. Tangan Elle digenggam erat. Dia tidak mahu berselindung lagi dengan Eleanor tentang perhubungan dia dan Elle. Dia mahu Eleanor tahu dia mencintai Elle. Dia tekad kali ini. Elle masih tidak bersedia untuk memberitahu hal tersebut kepada Eleanor. Dia takut. Hatinya kian berdebar kuat.
“Apa maksud awak, Dean?” Mata Eleanor terpaku pada tangan Dean yang menggenggam jari-jemari Elle. Hatinya kian sakit.
“Saya dengan Elle nak berkahwin. Kami sudah hampir setahun bersama. Saya minta maaf kerana menyembunyikan percintaan kami dari kamu, Eleanor.” tenang Dean menutur kata.
Wajah Eleanor berubah serta-merta setelah mendengar kata-kata Dean. Tidak dia menduga Elle menikam dari belakang. Bukan Elle tidak tahu dia mencintai Dean selama ini. Dia tidak berahsia dengan adiknya itu. Sesekali pun tidak. Kenapa? Kenapa Elle perlu mengkhianati dia? Kenapa Elle merampas Dean dari dia?
“Kenapa? Awak tahu saya cintakan awak. Saya yang jumpa awak dulu sebelum Elle. Apa lebihnya Elle dan apa kurangnya saya. Saya ada segala-gala yang Elle tiada.” Eleanor memprotes. Dia kerling Elle tajam. Elle tundukkan kepala.
“Awak kena terima kenyataan saya memilih Elle dan bukannya awak. Saya tak boleh menipu diri saya lagi. Saya tidak dapat mencintai awak. Awak tiada apa-apa yang kurang Eleanor. Tapi hati saya… hati saya ini hanya untuk Elle.” Dean harap Eleanor mengerti. Cinta itu tidak boleh dipaksa.
"Kakak!" Elle menghampiri Elanor. Dia paut lengan kakaknya. Dia bukan sengaja mahu merampas Dean dari Eleanor. Dia sudah sedaya-upaya mengelakkan diri dari mencintai lelaki itu. Namun Dean begitu tegar memburu cintanya. Elle tidak tergamak mahu melukakan hati Eleanor. Dia sayangkan Eleanor.
"Jangan sentuh aku! Kau pengkhianat!" Eleanor rentap lengannya dari Elle. Elle tersentak. Air matanya mengalir. Sebelum ini tidak pernah Eleanor meninggikan suaranya. Walaupun Eleanor seorang pelakon teater yang popular namun dia melayan adik tirinya Elle dengan baik. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Eleanor tidak pernah berahsia apa-apa dengannya termasuk perasaan Eleanor pada Dean.
"Maafkan Elle kakak. Elle tidak bermaksud mahu menyakiti hati kakak." Elle menangis pilu. Hari ini kerana seorang lelaki mereka bermusuhan.
"Kita putus saudara! Aku tidak mahu lihat kamu berdua depan mata aku lagi! Pada aku, adik aku sudah mati!" Eleanor merengus lalu meninggalkan Dean dan Elle. Saat itu air matanya tumpah jua. Eleanor melangkah masuk kereta sportnya dan memecut laju.
Dean memaut lembut bahu Elle. Tidak sangka sampai begitu sekali amarah Eleanor terhadap Elle. Elle tidak bersalah dalam kemelut cinta tiga segi ini. Dia yang bersalah. Namun tidak wajar dia korbankan cinta dan kebahagiaan kerana Eleanor. Dean berharap Eleanor akan memaafkan dia dan Elle.
“Saya rasa tidak sedap hati Dean.” Elle merampas jari-jemarinya.
“Jangan bimbang sayang. Saya kenal sangat dengan Eleanor. Marahnya tidak lama. Dia pasti akan memaafkan kita.” Dean cuba menyedapkan hati Elle. Dia tidak mahu Elle diselubungi rasa bersalah sedangkan perbalahan ini berpunca dari dia. “Saya mahu bertemu dengan orang tua kamu.” sambung Dean lagi. Elle menganggukkan kepalanya. Bibirnya menguntum senyuman paksa.
“Saya mengikut saja.”
“Kita akan melangsungkan perkahwinan kita di ‘Bourgenvilla’. Saya mahu mencipta sejarah cinta kita bersama ‘Bourgenvilla’.”
Mendengar nama ‘Bourgenvilla’ wajah Elle berubah. Kenapa mesti ‘Bourgenvilla’ menjadi pengikat cinta mereka. Bukankah ‘Bourgenvilla’ pernah mencatatkan satu kisah cinta berdarah.
DEAN menjadi tidak keruan. Pengantin perempuan masih tidak tunjuk muka. Ke mana hilangnya Elle dia hari bahagia mereka ini. Tetamu yang hadir mula berbisik sesama sendiri. Tuan Kingston dan Puan Kingston merapati Dean. Mereka bertekak. Dean tetap mempertahankan Elle dan tidak akan meneruskan majlis tersebut tanpa Elle. Mana mungkin dia akan menerima Eleanor sebagai pengganti Elle. Tidak mungkin!
Pasti sesuatu yang buruk berlaku pada Elle. Bukan Elle seorang yang menghilang. Malah ibu Elle juga tidak kelihatan dalam majlis tersebut. Dean mengerling tajam ke arah Eleanor dan keluarganya. Eleanor tersenyum sumbing. Dia rela menggantikan tempat Elle sekiranya Elle tidak hadir dalam majlis perkahwinan tersebut. Salah satu sebab menutup malu pada keluarganya. Dean tidak dapat menahan perasaan lagi. Laju dia meluru ke arah Eleanor. Pergelangan tangan Eleanor dicengkam.
“Di mana kau sorokkan Elle?” tempelak Dean. Tubuh Eleanor ditolak ke dinding.
“Hey! Kau jangan nak berkurang ajar dengan aku. Aku sudah tiada kaitan dengan Elle lagi. Apa yang berlaku pada dia bukan urusan aku!” gerutu Elle. Dia membalas pandangan tajam Dean.
“Jangan nak bermuka-muka dengan aku Eleanor. Aku tahu kau jenis yang berdendam. Kau tidak boleh terima kekalahan kau pada Elle.” Dean menundingkan jarinya ke muka Eleanor. Gadis tersengih. Berani Dean menuduh begitu pada dia. Apa kena-mengena dia dengan kehilangan Elle
.
“Aku dah kata urusan kau dengan Elle , aku tidak masuk campur lagi. Mati atau hidup Elle tiada kena-mengena dengan aku. Mengerti!” bentak Eleanor.
Semua mata terarah kepada mereka. Tuan Kingston dan Puan Kingston terpaksa masuk campur. Tentu sahaja mereka membela Eleanor. Sebelum ini, mereka memang sukakan Eleanor menjadi menantu keluarga Kingston. Namun mereka tidak mampu untuk membantah kehendak Dean. Dean anak lelaki mereka yang satu. Jika tidak dituruti Dean mengugut untuk membunuh diri bersama Elle.
Tuan Kingston tiada pilihan lain. Dia mengheret Dean keluar dari taman vila tu. Mereka perlu mencari tempat yang sesuai untuk berbicara. Amarah Dean perlu ditenangkan. Dean terlalu mempercayai cinta Elle. Lihat apa yang sudah berlaku. Elle telah memalukan keluarga mereka.
“Kamu seharusnya bertenang Dean!” Tuan Kingston memengang bahu anak lelakinya. Dikerling wajah isterinya. Wanita itu sekadar anggukkan kepala. “Kamu harus meneruskan perkahwinan ini, Dean. Tiada gadis lain layak menjadikan tempat Elle selain Eleanor!”
Mengapa mesti nama Eleanor yang terluah di bibir ayahnya? Dean tidak puas hati. Nampak sangat orang tuanya punya agenda yang sama seperti Eleanor. Mereka mahu memisahkan dia dari Elle.
“Saya tidak akan kahwin gadis lain, melainkan Elle.” Dean bertegas. Sumpah setianya hanya pada Elle. Dia tetap yakin Elle tidak akan mengkhianati cinta mereka. ‘Bourgenvilla’ telah menjadi saksi sumpah cinta mereka.
“Dean!” Tuan Kingston membulat matanya. Namun bila dia mahu membuka mulut, bunyi jeritan bergema di ruang tamu vila itu. Bergegas mereka menuju ke tingkat atas. Orang gaji mereka kelihatan sudah jatuh terduduk. Jari menunding ke arah pintu bilik yang sudah terbuka luas. Jelas ketakutan pada wajah wanita itu.
Dean tergamam. Begitu jua dengan kedua orang tuanya. Eleanor menekup mulut. Di hadapan mata mereka Elle tergantung tidak bernyawa berpakaian penggantin serba putih. Tangan Elle memengang sepucuk surat. Ada nama Dean tertera pada surat tersebut. Berdekatan mayat Elle, ibunya terbaring dengan kelaran di pergelangan tangan. Sungguh mengerikan!
Sehari selepas itu…
BUNYI tembakan di bilik tidur mengejutkan Tuan Kingston dan isterinya yang sedang menjamu sarapan pagi. Keduanya meluru ke arah bilik Dean di tingkat atas. Pintu bilik Dean yang berkunci menyebabkan Tuan Kingston terpaksa merempuh sedaya mungkin. Namun segalanya telah terlambat. Darah sudah mengalir membasahi lantai berpermadani indah itu. Dean sudah terbujur kaku dengan tembakan di kepalanya. Puan Kingston mendakap tubuh kaku anak tunggalnya.
“Deannn!!” Dia meraung hiba. Singkat sekali pemikiran Dean hingga menamatkan nyawa begini. Begitu setia dengan sumpah ikrar cintanya pada Elle.
Aku mahu ‘Bourgenvilla’ menjadi saksi cinta kita hingga ke penghujung nyawa. Aku pernah mendengar cerita orang yang ‘Bourgenvilla’ adalah vila cinta berdarah. Pernah ada sejarah cinta yang tidak kesampaian. Mereka saling mencintai namun keluarga mereka bermusuhan. Si gadis akan dikahwinkan dengan pilihan keluarganya begitu jua dengan si pemuda. Di ‘Bourgenvilla’ ini pasangan kekasih itu melafazkan ikrar sehidup semati.
Pasangan kekasih itu tiada pilihan lain. Mungkin kematian saja dapat menyatukan mereka. Umpama Romeo dan Juliet, mati adalah jalan terakhir. Keduanya meneguk racun di malam perkahwinan masing-masing. Erat berpegang tangan sebelum nyawa bercerai dari badan. Aku ingin kita seperti itu. Elle…aku bersumpah di taman ‘Bourgenvilla’ ini yang kita akan sehidup mati bersama. Dan aku akan menyusul mengikutmu….
catatan
Dean Kingston